Sultan Johor Pandu Proton Saga Hantar Mahathir Pulang

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memandu kereta keluaran pertama Perusahaan Automobil Nasional, Proton Saga keluar dari Istana Bukit Serene di sini sebentar tadi.

Sultan Ibrahim memandu kenderaan nasional berwarna biru itu bagi menghantar pulang Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Kulai dekat sini selepas lebih sejam mengadakan pertemuan secara tertutup.

Baginda dan Dr. Mahathir kelihatan ceria sambil melambai ke arah pengamal media serta orang ramai yang setia mengikuti perkembangan pertemuan bersejarah kedua-dua pemimpin terbabit.

Terdahulu, Dr. Mahathir tiba ke Istana Bukit Serene di sini kira-kira pukul 4 petang bagi mengadakan pertemuan rasmi pertama sejak beliau dilantik buat kali kedua sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli dengan menghantar Perdana Menteri Mahathir Mohamad ke lapangan terbang antarabangsa Senai.

Baginda bahkan memandu sendiri kereta Proton Saga biru dengan nombor pendaftaran Proton 1 keluaran pertama yang dinaiki Mahathir.

Mahathir duduk di bahagian penumpang depan sampai melambai tangan ke arah pemberita dan orang ramai yang menunggu di luar Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Jarak antara istana itu ke lapangan terbang Senai kira-kira 25km.

Kereta itu dihadiahkan kepada ayahandanya Almarhum Sultan Iskandar pada 1985.

Almarhum ketika itu bertugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Proton Saga adalah kereta pertama keluaran syarikat automobil negara Proton ketika Mahathir perdana kali menjadi perdana menteri pada tahun 80-an.

Mahathir dan Sultan Johor, kedua-dua mereka terkenal sebagai pencinta kereta.

Mereka diiringi oleh pasukan keselamatan yang bermotosikal dan berkereta.

Terdahulu, Mahathir mengadap Sultan Ibrahim.

Difahamkan, ia pertemuan pertama antara Sultan Johor dengan Dr Mahathir sejak dilantik semula sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), Mei lepas.

Dr. Mahathir dijangkakan akan mengadakan sidang akhbar di LTAS sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *