Inilah 10 Tips Terbang Kelas Ekonomi, Selesa Macam Kelas Pertama

MENGEMBARA ke serata dunia dengan menaiki penerbangan kelas pertama atau perniagaan pastinya menjadi impian ramai orang. Namun, harganya yang tinggi kadang-kala menjadikan keinginan itu sekadar impian sahaja.

Pernahkah anda terfikir seandainya penerbangan tambang murah turut menawarkan kemewahan persis penerbangan kelas pertama? Atau mungkin ada beberapa tip yang boleh anda ikuti bagi menjadikan penerbangan tambang murah turut selesa berbanding tiket kelas pertama.

Kali ini kami akan berkongsi  beberapa tip berguna untuk memastikan anda terus selesa di dalam pesawat kelas ekonomi tanpa perlu berbelanja besar.

1) Bantal Leher

Kebanyakan penerbangan biasa tidak akan menyediakan bantal leher untuk penumpang mereka.

Jadi, selesakan diri anda dengan bantal lembut yang membaluti leher bagi memastikan anda sentiasa selesa dan dapat tidur dengan nyenyak.

Malah, harganya juga tidak begitu mahal. Anda boleh mendapatkan bantal ini di serata kedai dan jika bernasib baik, anda boleh mendapatkannya dengan harga serendah RM10.

2) Stokin compression

Sudah menjadi kebiasaan apabila anda mengalami lenguh-lenguh kaki dalam penerbangan yang panjang.

Jika anda tidak mampu untuk membeli tiket penerbangan kelas pertama yang menawarkan ruang lebih luas bagi kaki anda, pakai sahaja stokin compression yang boleh mengelakkan anda mengalami lenguh dan kebas kaki.

3) Fon kepala

Sudah namanya penerbangan murah, anda akan berhadapan dengan pelbagai gangguan bunyi seperti tangisan bayi, penumpang yang banyak cakap dan sebagainya.

Untuk menjadikan perjalananan anda lebih tenang, apa kata dapatkan fon kepala untuk anda mendengar muzik?

4) Bawa bekal makanan

Sesetengah penerbangan menawarkan snek dengan harga yang agak tinggi. Jadi, apa kata anda bawa bekal makanan kegemaran dalam beg galas anda ke dalam pesawat.

Nikmati hidangan yang dibawa seperti snek atau sandwich tanpa perlu berbelanja besar, malah kemungkinan makanan yang dibawa jauh lebih baik berbanding apa yang dijual oleh penerbangan itu atau jauh lebih enak berbanding yang dihidangkan di kelas pertama.

5) Penutup mata

Penutup mata berupaya menghalang cahaya supaya anda dapat tidur dengan nyenyak tanpa sebarang gangguan.

Apa kata dapatkan penutup mata lembut yang diperbuat daripada fabrik baldu bagi memberi sentuhan kemewahan dan keselesaan tidur dalam penerbangan anda.

6) Muat turun filem kegemaran

Jika anda menaiki penerbangan mahal, anda pastinya mendapat kemudahan untuk menonton filem dan sebagainya. Namun, anda juga boleh merasai pengalaman itu menerusi penerbangan murah.

Anda boleh sahaja memuat turun filem kegemaran anda ke dalam peranti seperti telefon bimbit atau ipad dan menontonnya ketika sedang berada di dalam pesawat. Malah, filem yang telah siap dimuat turun tidak perlu menggunakan akses internet.

7) Kekalkan hidrasi tubuh

Badan anda perlu sentiasa cukup dengan bekalan air. Jika berada di dalam penerbangan, anda mungkin perlu berbelanja untuk mendapatkan minuman. Apa kata bawa botol minuman dan anda boleh mengisi air secara percuma di lapangan terbang.

8) Pilih laluan terbaik

Penerbangan anda pastinya akan lebih selesa dan fleskibel jika berupaya memilih laluan yang tepat. Contohnya, pilih laluan penerbangan yang lebih pendek dan kurang penumpang. Besar kemungkinan hanya ada beberapa orang sahaja di barisan tempat duduk anda. Ia pastinya dapat memberi keselesaan dan sedikit rasa privasi.

9) Kekalkan kebersihan dengan tisu anti bakteria

Penerbangan murah yang sentiasa dipenuhi ramai pastinya bukanlah tempat yang bersih di dunia.

Jadi, sebaiknya anda bersihkan tangan dengan pengelap anti bakteria bagi mengelakkan sebarang serangan bakteria.

10) Pakai beberapa lapis baju

Suhu dalam pesawat kadang-kala terlalu panas, boleh jadi juga ia terlampau sejuk. Lebih selamat sekiranya anda memakai t-shirt dan baju panas.

Jika sejuk, boleh sarungkan baju panas. Jika suhu mengingkat, buka sahaja baju panas, anda masih ada baju t-shirt. Senang bukan? Dengan ini, perjalanan anda pastinya akan menjadi lebih selesa dan terasa mewah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *