90 rumah hangus, lebih 400 hilang tempat tinggal

SANDAKAN: Lebih 400 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas kira-kira 90 rumah di penempatan atas air di Kampung Gas, Jalan Batu Sapi di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Dalam kejadian bermula jam 2.20 petang itu, api marak dengan cepat berikutan keadaan berangin serta kedudukan rumah papan yang rapat, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Difahamkan, ketika kejadian sebahagian besar penghuni keluar bekerja menyebabkan ramai yang tidak sempat menyelamatkan harta benda dan dokumen penting.

Mangsa kebakaran, Kamsiah Harisin, 40-an, yang tinggal di Jambatan 4 kampung itu berkata, ketika kejadian dia sedang menjahit, manakala suami mengupas mangga sebelum tiba-tiba terasa bahang panas.

“Sebaik menjenguk ke luar dari bahagian dapur, rumah jiran terletak kira-kira hanya 1.5 meter dengan rumah kami sudah terbakar. Saya dan suami kemudian bergegas memanggil ahli keluarga lain untuk menyelamatkan diri.

“Dalam masa singkat, rumah di Jambatan 4 juga sudah terbakar. Kami segera ambil semua dokumen penting dan barangan rumah yang sempat diangkat untuk diselamatkan,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Kamsiah berkata, api marak terlalu cepat hingga mereka tidak menyedari rumah sebelah terbakar.

“Tiada bunyi langsung. Apabila api dari rumah itu sudah terlalu marak dan mula merebak ke rumah kami, baru keadaan menjadi riuh.

“Ini kali kedua rumah kami terbakar dan tak tahu mahu tinggal di mana selepas ini. Bukan itu saja, pada malam ini sepatutnya kami mengadakan kenduri di rumah abang di sebelah.

“Segala persiapan sudah disediakan untuk bacaan doa kenduri, namun semuanya hangus terbakar,” katanya yang tinggal di rumah terbabit bersama 11 ahli keluarganya.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Enam Sabah, Anddre Andrew, berkata pihaknya menerima panggilan jam 1.56 tengah hari dan menghantar 22 anggota bersama empat jentera serta dua kenderaan utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

Katanya, operasi dibantu 30 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Kilang IOI, 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela Karamunting serta agensi seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama pekerja Kilang Kayu Sinora.

“Keluasan kebakaran membabitkan kawasan seluas 0.8 hektar membabitkan rumah di kawasan Jambatan 1 hingga 5 kampung itu dan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke jambatan 6 hingga 12 serta menyelamatkan sebuah kilang kayu daripada hangus.

“Pasukan bomba mengalami kesukaran memadam kebakaran kerana tekanan air pili bomba yang rendah, paras air laut surut dan perubahan angin namun api dapat dikawal pada jam 4.15 petang serta operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.39 petang,” katanya.

Sumber: Beritaharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *