[Video] Viral Kes Buli Dan Samun Budak OKU .. PDRM Beri Keterangan

KLUANG: Dua suspek yang membuli dan mencuri telefon pintar serta beg sandang milik seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di padang permainan Taman Sri Kluang dekat sini, ditahan polis tengah malam tadi.

Video berdurasi 32 saat memaparkan kejadian buli itu menjadi viral di media sosial sejak malam tadi, antara lain memaparkan seorang daripada suspek membuli remaja OKU terbabit dengan menggunakan sebatang kayu di taman permainan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata bapa remaja OKU berkenaan membuat laporan polis selepas melihat video anaknya dibuli petang semalam.

Katanya, dua suspek berkenaan yang berusia 20-an itu sudah ditahan tengah malam tadi selepas menerima laporan polis daripada bapa mangsa.

“Polis sudah menahan dua suspek buli berkenaan, termasuk yang merakam video itu tengah malam tadi selepas gerakan mengesan mereka dibuat sebaik menerima laporan.

“Kejadian buli berkenaan dipercayai dilakukan suspek di taman permainan Taman Sri Kluang pagi semalam. Mangsa memaklumkan bapanya yang suspek mencuri telefon bimbit miliknya, wang tunai RM20 serta beg sandang selepas dibuli dan diugut dengan sebatang kayu,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Mohamad berkata, dua suspek berkenaan direman mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana samun yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

SUMBER : BHARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan ..

KISAH YANG TERJADI

Viral di media sosial video seorang remaja OKU dibuli oleh dua lelaki sebelum menyamun telefon bimbitnya serta wang tunai.

Menurut Nur Izzara Aisha yang memuat naik gambar dan video kejadian di Facebooknya itu berkata, kejadian itu berlaku di padang permainan di taman perumahan di Taman Sri Kluang.

“Kejadian membuli dan mencuri telefon bimbit milik seorang anak kurang upaya (OKU).

“Mohd Nor Akmal dibuli di padang permainan di rumah murah Taman Sri Kluang serta telefon bimbitnya jenama Samsung J2 dan wang belanjanya dalam beg merah telah diambil dua lelaki terbabit,” tulisnya.

Berdasarkan video tersebut, mangsa ditolak beberapa kali oleh suspek yang dikenali sebagai Boy, manakala rakan suspek pula merakam video kejadian itu.

Sesekali mangsa cuba menolak suspek agar berhenti dari mendekati dan mengapa-apakannya. Malangnya, suspek menolak lehernya dengan kuat sehingga menyebabkan mangsa tercekik menahan kesakitan.

Sementara itu di media sosial, netizen mengutuk tindakan suspek dan menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dua remaja terbabit.

Nur Izzara turut berkongsi ID Facebook suspek, bagaimanapun akaun Facebook berkenaan telah dipadamkan berikutan kes itu mula viral di media sosial.

“Seriously saya menangis tengok video ini sebab terbayangkan anak buah saya sendiri yang juga OKU,” katanya yang juga berharap remaja terbabit mendapat balasan setimpal.

RAKAMAN VIDEO BUDAK OKU DIBULI DAN DISAMUN

Sumber: The Reporter via Gedebakviral

2 remaja suspek buli, samun OKU positif dadah

KLUANG: Dua suspek yang membuli dan mencuri telefon pintar serta beg sandang milik seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di padang permainan Taman Sri Kluang dekat sini, petang semalam, disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata hasil ujian dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka mengambil dadah jenis methamphetamine.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek berusia 18 tahun itu positif dadah dan polis turut menyiasat mereka mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukan dadah dalam badan yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta perintah pengawasan polis selama dua tahun.

“Kedua-dua suspek yang ditahan di rumah mereka di Taman Sri Lambak kira-kira jam 11 malam tadi itu turut disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana samun dan direman empat hari.

“Polis turut merampas semula sebuah telefon bimbit dipercayai mangsa samun mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, NSTP melaporkan polis menahan dua suspek yang membuli dan mencuri telefon pintar serta beg sandang milik seorang remaja OKU di padang permainan Taman Sri Kluang, tengah malam tadi.

Video selama 32 saat mengenai kejadian buli berkenaan viral di media sosial sejak mula dimuat naik malam tadi yang antara lain memaparkan seorang daripada suspek membuli remaja OKU berkenaan menggunakan sebatang kayu di taman permainan berkenaan.

Sumber: BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *