Tidak Tinggal Solat Dan Rezeki Yang Dikurniakan Allah Melalui Aliff Syukri

Video sekadar hiasan

Mahu kongsi sikit kisah disebalik macam mana Datuk Aliff Syukri boleh beli rumput palsu dari saya. Sebaab saya rasa sangat ajaib sangat Allah mahu kongsikan rezeki itu pada saya.

Untuk pengetahuan semua, sebenarnya sejak dari tahun lepas lagi, 19 November 2017 saya telah mencuba mencari rezeki dengan meninggalkan mesej pada Aliff Syukri di Instagram beliau dengan harapan mesej itu dibaca.

Saya beritahu Aliff Syukri yang saya buat AIA Takaful dan juga rumput palsu. Manalah tahu dia berminatkan? Tetapi sampai sekarang dia tak baca pun mesej saya itu.

Dipendekkan cerita, setelah 6 bulan, ada seorang lelaki yang Whatsapp saya ketika bulan puasa. Dia beritahu yang dia pernah beli rumput palsu di tempat lain, tetapi tidak besalah, hanya mahu tunjukkan pada boss dia. Tetapi bos dia tidak suka rumput yang dia beli itu sebab nampak sangat fake dan tidak semulajadi. Jadi dia mahu jumpa saya untuk lihat sample dan tunjukkan pada boss dia.

Selalunya, kalau ada pelanggan yang mahu tengok sample, saya akan minta pelangaan itu datang ke kawasan Shah Alam. Tetapi hari itu, Allah SWT telah gerakkan hati saya untuk pergi berjumpa dengan lelaki itu dan tunjukkan sample. Masa itu saya ada di KL dan kami bersetuju untuk berjumpa di kawasan Kota Damansara.

Setelah berjumpa, lelaki tersebut meminta izin untuk membawa balik rumput contoh itu untuk ditunjukan pada bos beliau. Meskipun pada ketika itu saya hanya ada satu contoh sahaja untuk setiap jenis rumput, tetapi entah mengapa Allah SWT gerakkan hati saya untuk benarkan dia bawak balik rumput contoh tersebut.

Keesokkan petangnya, lelaki tersebut telefon saya 2-3 kali juga, tetapi saya tidak dapat angkat panggilan itu sebab tengah ada latihan di Puchong. Saya pun Whatsapp dia beritahu yang saya tengah menjalani latihan dan tidak dapat menjawab panggilan dia. Dia pun faham. Dia beritahu yang bos dia bersetuju untuk beli rumput saya yang 30mm itu dan dia mahu suruh saya datang pasang petang itu juga. Dia mahu terus pindahkan wang dan minta pasangkan pada hari itu juga.

Memandangkan waktu itu sudah pun pukul 4 petang dan pembekal pun tutup kedai jam 5 petang, saya beritahu yang saya tidak sempat untuk datang pasang hari ini. Lagipun takut jalan sesak orang mahu balik berbuka. Tetapi dia berkeras minta tolong pasangkan hari itu juga.

Selesai saja latihan di Puchong, saya terus kelam kabut bergegas ke pembekal. Saya beritahu pembekal supaya jangan tutup kedai lagi sebab saya mahu datang ambil rumput dan pelanggan pun sudah bayar. Saya datang mahu ambil stok saja. Alhamdulillah, pembekal baik hati dan boleh tunggu sampai saya sampai.

Minyak kereta masa itu sudah berkelip-kelip sebab mahu habis. Kalau mahu pergi singgah isi minyak mesti lambat lagi ini. Jadi saya tawakal saja teruskan perjalanan ke kedai pembekal. Masa sampai di kedai pembekal, jam pun sudah pukul 6.40 petang dan saya pun belum solat Asar lagi.

Saya teringat di NKVE Damansara ada stesen minyak. Boleh singgah solat dan isi minyak di situ. Tetapi memandangkan jalan jem dan hujan waktu itu, memang lambatlah saya sampai. Lelaki tu dah beberapa kali tanya saya sudah sampai mana. Saya beritahu yang saya masih tersekat di dalam jem.

Lebih kurang nak sampai 1 km dari stesen minyak, Allah SWT uji saya dengan minyak kereta saya habis. Masa itu jam sudah menunjukkan pukul 7pm. Dengan hujan, jalan jem, belum solat Asar lagi dan sudah mahu berbuka, kereta saya berhenti di lorong kecemasan. Mujur masa tu kereta saya berada di laluan kiri. Jadi saya sempat ke lorong kecemasan sebelum kereta mati.

Saya terduduk diam kejap dalam kereta. Adakah saya mahu mengejar dunia dengan tinggalkan je solat Asar dan nanti ganti balik solat tu, sebab pelanggan sudah tunggu lama. Atau saya nak kejar akhirat, buat apa yg Allah suruh dan tinggalkan dulu urusan dunia. Dalam hati saya bercakap dgn Allah. Ya Allah, aku tahu Kau sedang menguji ku. Tapi aku redha dan aku tahu Kau sedang merancang yang terbaik untuk ku.

Saya terus mencapai botol mineral kosong dalam kereta, pasang lampu hazard dan terus berjogging tepi NKVE menuju ke Petronas tepi NKVE Damansara itu. Sampai Petronas saya nampak ada satu pam kosong. Saya pun terus ke pam tersebut. Leretkan kad kredit dan isi minyak dalam botol mineral. Total RM3 lebih satu botol 1.5 liter tu.

Kemudian saya terus masuk surau dan solat Asar. Perasaan leganya sudah solat Asar sebelum masuk waktu berbuka itu memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Terus saya beli sebotol mineral kecil dan berlari semula ke kereta yang tersadai.

5 minit lepas itu azan Maghrib berkumandang. Saya minum seteguk dan terus berlari ke kereta. Waktu mahu isi minyak dalam tangki memang suspen. Entah-entah tak cukup sebotol tu kan. Sudah kena berlari balik. Dengan lafaz bismillah saya hidupkan kereta. Alhamdulillah boleh hidup! Terima kasih Allah!

Saya pun bawa kereta pegi balik ke stesen minyak dan isi balik minyak. Lelaki tu mesej lagi bagi tahu dia sudah balik. Nanti awak jumpa dengan staf lagi sorang. Dia beritahu nanti bila sudah sampai pos pengawal, cakap pada pengawal mahu pergi ke rumah Datuk Aliff Syukri. Saya pun macam eh, macam familiar nama ini.

Bila sampai depan rumah yang besar tidak dapat dibayangkan itu, saya terus tanya staff dia boleh tak mahu tumpang solat Maghrib? Dia pun bawa saya ke bangunan sebelah yang menempatkan surau dan gimnasium. Selesai solat, saya pun mula pasang rumput itu dalam hujan renyai-renyai dengan adik saya. Tidak lama lepas itu, Datuk pun keluar. Dia cakaplah,

“Ada orang pasang rumput ke kat luar ini. Kenapa tak pasangan keesokkan harinya sahaja. Sudahlah hujan pula itu. . Sudah-sudah, sambung esok saja…”

Saya beritahu Datuk, takpelah saya pasang saja sebab alang-alang sudah sampai.

Datuk tanya sama ada saya sudah berbuka atau belum. Saya tipu cakap sudah. Datuk cakap lambat saja cara saya jawab itu, mesti belum makan. Sudah-sudah jom makan dulu.

Kami yang dengan basahnya Datuk jemput masuk makan. Dia suruh isteri dia bawak ke dapur. Sebelum itu Datuk ada minta izin untuk merakam video kami pasang rumput dan beritahu mahu muat naik ke Instagram @palacealiffsyukri.

Saya tanpa berfikir panjang terus bersetuju. Lepas ambil video itu, saya dan adik saya pun masuk ke dapur untuk makan.

Rupanya Datuk Aliff terus pos video tadi. Ya Allah, lepas dia pos saja beribu-ribu org add saya kat Instagram itu belum masuk yang hantar mesej lagu. Memang tidak menang tangan saya dibuatnya. Sebelum ini biasanya dalam semunggu adalah 3-4 orang yang mesej. Tetapi lepas pos,, satu malam sudah terima berpuluh-puluh mesej.

Allahuakbar, inilah rezeki ghaib yang Allah mau beri kat saya. Dia uji saya dulu nak tengok saya ini nak buat tak apa yang Dia suruh. Nak tengok saya ini pilih dunia ke akhirat. Benarlah kata Allah, kalau kita mengejar Akhirat, Dunia akan ikut kita. Tapi kalau kita mengejar Dunia, Akhirat tidak akan mengikuti kita.

Jadi buatlah apa yang Allah SWT suruh dengan penuh yakin dan sungguh-sungguh. Tinggalkan apa yang dilarang. Nescaya Allah akan berikan rezeki yang melimpah ruah dari sumber yang tidak disangka-sangka.

Siapa sangkakan, mesej 6 bulan lepas walaupun Aliff Syukri tidak seen pun sampailah ke hari ini, tetapi Allah SWT sudah tetapkan rezeki ini untuk saya. Allah sehebat-hebat perancang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *